Sunday, November 1, 2009

Kelantan Melangkah Bergaya Ke Final Piala Malaysia

Penantian 40 Tahun Kelantan Ke Final Jadi Kenyataan

KANGAR, 1 Nov (Bernama)-- Penantian 40 tahun pasukan Kelantan untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila skuad itu berjaya menewaskan Perlis 3-1 di separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam Sabtu.
Kelantan sebelum ini mencatat kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri, Selasa lalu, untuk ke final Piala Malaysia dengan agregat kemenangan 5-1.
Jaringan hatrik, Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke-26, 53 dan 87 menjulang skuad Kelantan dan memusnahkan harapan kebangkitan skuad Singa Utara untuk melangkah ke perlawanan akhir yang sekadar memperolehi gol tunggal perlawanan menerusi Mohd Firdaus Faudzi pada minit ke 69.
Skuad 'Red Warriors' kini selangkah sahaja lagi untuk melakar sejarah baru di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan B Sathiananthan selepas kali terakhir beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia ialah 39 tahun lepas, ketika itu tewas kepada pasukan Perak 0-1 di Stadium Merdeka pada tahun 1970.
Mohd. Norfarhan yang ditemui berkata beliau bersyukur dengan kejayaan yang ditempah pasukannya itu dan tidak menyangka akan menjaringkan gol hatrik."Saya bermain dengan penuh bersemangat untuk berjuang habis-habisan dan menggunakan peluang yang ada untuk mencari gol sebanyak mungkin dalam memastikan kemenangan milik Kelantan."Alhamdulillah dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh rakan sepasukan juga, impian Kelantan untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir menjadi realiti," katanya.
Harapannya kini mahu beraksi sebaik mungkin untuk membantu pasukan menamatkan penantian hampir 40 tahun skuad Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir nanti menentang Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata ini adalah peluang terbaik untuk pasukannya setelah 40 tahun mengintai peluang ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan beliau akan memastikan Piala berprestij itu akan dibawa pulang ke Kelantan."Tahun ini juga adalah tahun pertama kita menjejakkan kaki ke perlawanan Liga Super dan kejayaan yang ditunjukkan skuad Kijang adalah kerana jurulatih, pemain dan pihak pengurusan yang sentiasa memberikan kerjasama terbaik selain para penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu," katanya.
Beliau turut menasihatkan penyokong-penyokong fanatik Kelantan yang ghairah dengan kejayaan pasukan kesayangan mereka agar mematuhi undang-undang dan tidak membawa sebarang objek terlarang termasuk mercun dan bunga api pada perlawanan akhir kelak."Saya berharap pada perlawanan akhir di Bukit Jalil 7 November ini tidak akan tercemar dengan bahan api itu dan kawalan ke atas bahan api itu dapat dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya.-- BERNAMA

No comments: