Saturday, March 7, 2009

Kelantan vs UPB MyTeam (7 Mac 2009)

Selangor, Kelantan gah mara

Oleh Mohd Fadzrie Haziz, Wan Faizal Ismayatim, Kamudin Baharom dan Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
Negeri Sembilan, Perlis turut ke separuh akhir walaupun sekadar seri 0-0PASUKAN pilihan, Kelantan dan Selangor menepati ramalan untuk mara ke saingan separuh akhir Piala FA sambil diiringi Perlis dan Negeri Sembilan, malam tadi. Di Stadium Sultan Mohammad ke-IV, Kelantan yang mendapat sokongan padu 18,000 penyokong, menempah tiket mereka sesudah menewaskan UPB MyTeam 3-1 untuk mara dengan agregat 4-2.
Namun MyTeam bermula garang apabila memperoleh gol pertama seawal minit ke-9 menerusi Nor Shahrul Idlan Talaha yang bijak menguis masuk hantaran Bunyamin Omar dari sebelah kanan pintu gol Kelantan. Begitupun Kelantan tidak menunggu lama sebelum kembali mengikat kedudukan apabila pemain sayap, Zambri Ramli, melepaskan tendangan padu dari jarak 20 meter untuk menewaskan penjaga gol MyTeam, Syed Adney Syed Hussain pada minit ke-25. Pelawat melepaskan dua peluang keemasan menjelang tamat separuh masa menerusi cubaan Bernard Samuel pada minit ke-39 dan Bunyamin Omar ke-45, namun terkena tiang walaupun penjaga gol Kelantan, Sharizan Ismail sudah tertewas.
Babak kedua menyaksikan penguasaan penuh anak didik Peter Butler apabila menambah dua lagi jaringan hasil gerakan Nor Farhan Mohamed pada minit ke-53 sebelum Badri Radzi memastikan kemenangan Kelantan selang lima minit kemudian. Di Stadium Shah Alam, Selangor menewaskan Perak 2-0 hasil jaringan C Premnath pada minit ke-79 dan Rudie Ramli pada minit ke-90 untuk membolehkan mereka layak ke saingan empat terakhir dengan agregat 4-1. Tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk menguji benteng Perak apabila sepakan penjuru R Surendran tepat ke jangkauan P Gunalan, namun tandukannya berjaya didakap kemas penjaga gol, Kamarul Effendi Rahim. Anak didik K Devan memastikan kemenangan bergaya ke atas Perak pada lewat saingan apabila Premnath berjaya memecah kebuntuan sebelum Rudie yang dimasukkan selaku pemain gantian, menamatkan harapan Perak pada waktu kecederaan.
Sementara itu, dua lagi tuan rumah, Perlis dan Negeri Sembilan turut layak ke separuh akhir walaupun seri tanpa jaringan. Di Stadium Utama Kangar, Perlis terlepas banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol untuk meraih bekal selesa ke atas Harimau Muda, namun keputusan seri sudah cukup untuk mereka berikutan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama Selasa lalu Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan turut buntu menambah jaringan, namun melangkah ke saingan seterusnya juga dengan agregat 1-0.

No comments: