Saturday, March 7, 2009

Kelantan Ke Separuh Akhir

Kelantan layak ke separuh akhir

Oleh KHAIRI MOHAMAD (Kosmo)


BADRI (kiri) meraikan jaringannya pada pertemuan menentang UPB-MyTeam di Stadium Muhammad ke-IV malam tadi.



BERAKSI di hadapan lebih 20,000 penyokong sendiri jelas memberi kelebihan kepada Kelantan apabila berjaya membenam UPB-MyTeam 3-1 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan Kelantan mara ke saingan separuh akhir menerusi kemenangan agregat 4-2.
Turun dengan kelebihan satu jaringan di tempat lawan, Kelantan sepatutnya tampil lebih yakin, namun akibat ‘lambat panas’ mereka ketinggalan pada minit kesembilan.
Penyerang UPM-My Team, Norsharul Idlan Talaaha berjaya merobek gawang tuan rumah selepas menyudahkan hantaran lintang Bunyamin Umar.
Sang Kijang yang tersentak dengan gol awal tersebut terus menggandakan asakan dan pada minit ke-26, pemain sayap, Zamri Ramli meledak gol penyamaan.
Perlawanan menjadi semakin rancak apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan dan malang bagi UPB-MyTeam apabila dua percubaan mereka dinafikan palang gol.
Pada babak kedua, Kelantan mengeluarkan Khalid Jamlus dan memasukkan Ramzul Zahini.
Gol kedua Kelantan hadir pada minit ke-53 menerusi Nor Farhan Mohamad yang berjaya menanduk masuk hantaran ketua pasukan Badri Radzi.
Kelantan yang bagai dahagakan jaringan terus mengatur gerak dan selang lima minit kemudian, stadium bergema lagi.
Badri melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah melalui sepakan percuma melepasi jangkauan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussin.

No comments: